Unsur-unsur Khurafat Dalam Filem
Pada masa kini saban hari kita dihidangkan
dengan pelbagai bentuk hiburan. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak
mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi
yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada. Namun
bentuk-bentuk hiburan sebegini telah mengundang kealpaan dalam diri manusia
yang terlalu mengejar hal duniawi. Tidak salah seandainya mahu berhibur namun,
seseorang itu tidak boleh terlalu leka. Berbincang mengenai hiburan, isu yang
ingin diketengahkan di sini adalah mengenai fenomena kebangkitan filem yang
kebanyakannya merosakkan akidah umat Islam. Industri hiburan tanah air kini
semakin hari semakin berkembang dengan penghasilan pelbagai bentuk filem atau
drama tidak kira sama ada berunsur komedi, romantik, aksi mahu pun seram. Hal
ini merupakan suatu fenomena yang positif bagi penggiat seni perfileman
terutamanya yang menghasilkan filem berbentuk seram. Justeru filem berunsur
seram kini mendapat perhatian ramai penonton. Keadaan ini dibuktikan apabila
setiap kali tayangan filem berunsur seram ditayangkan di pawagam-pawagam
seluruh Malaysia, kutipan jualan tiket mendapat sambutan hangat berbanding
filem bercorak kerohanian. Situasi ini telah menyebabkan semakin ramai pengarah
filem tempatan mengambil peluang ini untuk menghasilkan filem-filem berunsur
hantu dan seram.
Seiring dengan kebangkitan filem-filem
berunsur hantu dan seram ini telah mendapat perhatian ramai pihak. Ada di
antaranya yang memuji dan menyokong lambakan filem ini dan tidak ketinggalan
juga yang mengkritiknya. Kebanyakan yang mengkritiknya adalah disebabkan
terdapat unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para penonton.
Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka ini
merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses
belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh
merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri
penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran
Islam.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana ramai
penonton yang meminati filem berunsur hantu dan seram ini terdiri daripada
masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini terdiri daripada pelbagai
peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak sendiri. Hal
ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah generasi muda dan
kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan terpengaruh dengan
aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai jenis hantu yang
direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada penonton. Perasaan takut
mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu rekaan tersebut melebihi
kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan daripada para pelakon pula
telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan tahyul, khurafat dan
syirik. Kekuatan kepercayaan terhadap hantu ini juga akan melemahkan
iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
Dalam hal ini, ketaksuban penonton terhadap
hantu akan menyebabkan mereka terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian.
Misalnya, dibayangi hantu ketika berseorangan atau ditempat gelap, kanak-kanak
pula takut untuk ke tandas kerana rasa ada hantu yang mengekori. Perkara ini
tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan perlu ditangani segera.Kajian
dilakukan berkaitan kesan dan pengaruh filem hantu terhadap penonton
menyenaraikan kesan antaranya tidak nyenyak tidur akibat diburu bayangan filem
ngeri, perasaan takut hingga hilang daya kawal terhadap diri dan perasaan fobia
melihat benda dikait dengan filem ditonton. Malah fobia terhadap kegelapan.
0 comments:
Post a Comment