Masyarakat kita sedang menghadapi krisis
pembudayaan bahasa Melayu dalam komunikasi, apatah lagi komunikasi
yang bersifat rasmi. Kian ketara ialah pengabaian sejumlah anggota
masyarakat pelbagai lapisan
terhadap bahasa sebagai unsur teras kebudayaan dan tamadun.”
Demikian ditegaskan oleh tokoh bahasa, Profesor Dr. Haji Awang
Sariyan ketika membentangkan kertas utama yang bertajuk
Melestarikan Bahasa Melayu dalam Komunikasi dalam
Seminar Kesantunan Berbahasa Peringkat Kebangsaan
pada 28 hingga 29 Mac 2007 di Hotel Grand Continental, Kuala
Terengganu.
Tegas beliau, “krisis pembudayaan bahasa
Melayu dapat diperhatikan dalam dua bentuk, iaitu, krisis pembudayaan
dalam hal taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi dan bahasa ilmu, dan krisis pembudayaan tentang mutu
penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai ranah seperti
pentadbiran, media massa, pendidikan dan di tempat awam.
Pelestarian bahasa Melayu dari sudut taraf dan
fungsinya serta penggunaannya penting untuk menyuburkan
amalan komunikasi yang baik dan berkesan, sekali
gus dapat mengangkat martabat bahasa Melayu
sebagai bahasa tonggak tamadun bangsa.”
Seminar anjuran Institut Perguruan Sultan Mizan, Dewan Bahasa
dan Pustaka Wilayah Timur dan Kerajaan
Negeri Terengganu ini bertujuan untuk menghayati
dan menerapkan bentuk serta strategi komunikasi yang bersopan dan beretika
bagi mengatasi kepincangan aspek penghayatan nilai serta adab
kesopanan dan kesantunan berbahasa yang
semakin diabaikan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu,
seminar ini diharapkan dapat memberikan input dan maklumat baharu
kepada para ilmuwan dan pentadbir sekolah agar
dapat menerapkan aspek kesantunan berbahasa dalam
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sekali gus memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa
komunikasi dan bahasa perpaduan.
Seminar yang dihadiri oleh 200 orang
peserta yang terdiri daripada pensyarah, pegawai
kerajaan, guru, bakal pendidik, penggiat bahasa dan
masyarakat umum ini telah dirasmikan oleh Pengarah Institut
Perguruan Sultan Mizan, Tuan Haji Nik Arif Raja
Yusof. Dalam ucapan perasmiannya, beliau
menegaskan bahawa “penerapan kesantunan dan budi
bahasa dalam komunikasi amat penting untuk membentuk generasi yang
berkualiti dan berkeperibadian tinggi. Oleh itu, beliau berharap
agar seminar ini dapat menyemarakkan rasa
cinta terhadap bahasa kebangsaan, mengangkat martabat bahasa
Melayu dan menyuntik semangat para peserta agar terus menjadikan budaya
santun berbahasa sebagai amalan.”
Seminar ini berjaya menarik tumpuan peserta
melalui pembentangan kertas kerja oleh
tokoh-tokoh tersohor seperti Bapak H. Tenas
Affendi dengan tajuk kertas kerja Kesantunan Berbahasa
dalam Konteks Sosial. Dalam kertas kerjanya beliau
mengajak peserta menghayati nilai-nilai kesantunan
yang terkandung dalam pantun dan ungkapan adat
Melayu. Di samping Bapak H. Tenas Affendi,
turut membentangkan kertas kerja ialah Y. Bhg. Datuk Haji A. Aziz
Deraman, Prof. Madya Dr. Ahmad Mahmood Musanif (UPM), Tuan
Haji Mohd Samsudin Mahmod dan Dr. Robiah
Kulop Hamzah (Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia).
Rumusan yang dicapai daripada pembentangan enam kertas
kerja dalam seminar ini ialah kesantunan
berbahasa dalam komunikasi perlu dipupuk dari
semasa ke semasa agar dapat melahirkan
masyarakat atau modal insan yang berkaliber dan berkualiti, selari dengan
cabaran globalisasi demi kepentingan agama, bangsa dan negara